Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan menyaksikan Pameran Seni Tahun 5 ISB
12/06/2025

 


Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) hari ini merasmikan Pameran Seni Tahun 5 ISB pada majlis pembukaan yang berlangsung di Hart Living, Kiulap.

Berangkat menyaksikan pameran tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Pameran tersebut mengetengahkan cetakan kreatif kain sarung bertemakan 'Tribes of the World' dan menampilkan karya seni yang dihasilkan para pelajar Tahun 5 ISB, bagi meraikan kreativiti, penerokaan budaya dan perkembangan seni mereka.

Antara pelajar Tahun 5 yang hasil karyanya dipamerkan di acara tersebut ialah YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman.

Sebagai sebahagian daripada proses kreatif mereka, para pelajar menguraikan corak tradisional kepada bentuk ringkas untuk mereka bentuk templat cetakan yang boleh diulang.

Dengan menggunakan tanah liat, kadbod dan PVA, para pelajar menerapkan pelbagai teknik cetakan untuk menghasilkan karya seni yang berani dan boleh dipakai.

Bagi pameran berkenaan, setiap pelajar telah menyumbangkan satu karya unik, dengan 21 kain sarung dipamerkan di dinding utama galeri, manakala kain sarung selebihnya disediakan untuk kegunaan interaktif.

Semasa berucap pada pelancaran pameran tersebut, Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley berkata, pihak ISB percaya kepada pendidikan inklusif dan kecemerlangan akademik dengan memberi ruang dan peluang kepada setiap pelajar untuk berkembang, mengekspresikan diri, dan cemerlang mengikut cara mereka sendiri.

Menurutnya, falsafah tersebut dicerminkan melalui seni dengan memberikan pelajar kebebasan untuk menyampaikan idea, emosi dan perspektif yang melangkaui buku teks yang mengajar ketabahan, penyelesaian masalah dan keyakinan dalam membentuk kecemerlangan pemimpin masa hadapan.

“Melalui pameran ini, kita bukan sahaja melihat kreativiti tetapi juga hasil kerja yang cemerlang dari segi akademik dan berfikir secara mendalam oleh para pelajar yang menunjukkan keupayaan mereka untuk berfikir secara kritis, menyampaikan idea kompleks dan berinteraksi dengan dunia di sekeliling mereka," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Tahun 5 di ISB, Mark Rossow berkata, pameran tersebut merupakan gambaran mengenai kurikulum dinamik ISB dan komitmen terhadap pembelajaran yang berfokus tujuan.

Menurutnya, proses ISB untuk mencapai hasil yang berjaya antara lain memerlukan perancangan yang teliti, latihan dan ketabahan, yang berkait rapat dengan tujuan pembelajaran yang menggalakkan perkembangan minat, rasa tanggungjawab dan motivasi dalam kalangan  pelajar.

Pameran seni berkenaan dibuka kepada orang ramai pada Jumaat dan Sabtu, 13 dan 14 Jun 2025, di Hart Living, Kiulap High Street, dari jam 9.30 pagi hingga 7.30 malam (ditutup dari jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang pada Jumaat).

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto